Pengenalan

Pondok Al Furqan bertujuan untuk mempersiapkan pelajar mengenali al-quran seterusnya menjadi hafiz pada akhirnya nanti insyaallah. Pondok ini menggabungkan sistem kokurikulum yang direka khusus untuk anak-anak dan juga perkhidmatan asuhan anak-anak pada fasa pertama pendidikan seperti yang diajar di dalam Islam. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan di dalam kitabnya yang bertajuk Tarbiyatul Aulad, sebahagian petunjuk dan wasiat Rasulullah saw dalam pendidikan anak-anak di fasa awal umurnya ialah:

1.  Membuka Kehidupan Anak Dengan Kalimat La Ilaha Illallah

2. Mengenalkan Hukum-hukum Halal dan Haram Kepada Anak

3. Menyuruh Anak Untuk Beribadah Pada Usia Tujuh Tahun

4. Mendidik Anak Untuk Mencintai Rasul, Ahli Baitnya dan Membaca Al Quran

Realiti kehidupan di bandar-bandar besar ibu bapa sibuk bekerja dari pagi hingga ke petang. Anak-anak kecil terpaksa dihantar ke nursery ataupun transit lepas bersekolah rendah. Suasana di tempat nursery kebanyakkannya tidak diisi dengan pengisian rohani dan kanak-kanak dibiarkan bermain sahaja walaupun diawasi.Ini merupakan pembaziran masa kepada kanak-kanak itu tanpa pengisian ilmu agama. Selain itu juga ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka untuk menghafal Al Quran dan menjadi tahfiz tetapi mereka juga mahukan anak mereka bersekolah rendah dan kebanyakkan pusat tahfiz hanya menerima pelajar sepenuh masa dan ini menyebabkan ramai ibu bapa membatalkan hasrat mereka untuk menghantar anak mereka untuk mengaji Al Quran.

Di Selangor pembinaan institusi pondok masih kurang, justeru dengan tertubuhnya Pondok Al-Furqan ini diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di sekitara Bandar Shah Alam dan Selangor amnya. Pondok Al-Furqan memberi penekanan khusus kepada pembelajaran Ilmu Al-Quran dan Fardhu ‘Ain terutamanya kepada lapisan anak-anak berumur 4 hingga 12 tahun. Sejarah Islam telah membuktikan, Imam Shafie telah menghafal Al-Quran pada usia 9 tahun, Imam Ahmad pada usia 14 tahun dan ramai lagi tokoh-tokoh islam yang lain. Justeru pada seawal usia ini lah Ibu bapa harus memberi pendidikan agama kepada anak-anak seiringan dengan cabaran dunia zaman globalisasi ini.

Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan lagi pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak adalah

1. Pendidikan Iman

2. Pendidikan Akhlak

3. Pendidikan Fizikal

4. Pendidikan Intelektual

5. Pendidikan Psikhis/ Teori Mental

6. Pendidikan Sosial

7. Pendidikan Seksual

Apabila menyebut tentang pendidikan anak-anak, maka pendekatan secara berhikmah perlulah diterap oleh setiap ibubapa. Apa yang dimaksudkan dengan ‘berhikmah’ di sini adalah pendekatan yang paling sesuai dengan keadaan fizikal dan mental anak-anak tersebut. Antara pendekatan penting yang boleh diterapkan dalam institusi kekeluargaan adalah dengan mengajak anak-anak untuk solat secara berjemaah. Pendekatan solat berjemaah ini adalah wasilah terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Apabila seseorang bapa mengimamkan solat berjemaah di rumah maka anak-anak akan terkesan dengan ibadah solat yang dilakukan dan akan mewujudkan rasa taat dan sayang kepada bapanya. Nabi saw juga menyuruh setiap bapa untuk mengimarahkan rumahnya dengan ibadah solat.

Sabda Nabi saw : “Apabila seseorang daripada kamu telah menunaikan ibadat solat di masjid, maka apabila pulang jadikanlah sebahagian bahagian solat itu untuk keluarga kamu (iaitu solat bersama keluarga) Sesungguhnya Allah swt menjadikan kebaikan untuk rumahnya (ahli keluarganya) daripada solat tersebut.” (Hadith riwayat Imam Muslim).

Semoga generasi yang bakal dibentuk ini dapat memimpin Negara dengan baik pada masa akan datang. Generasi Qurani Memimpin Dunia.